SEJARAH



Sekolah Menengah Kebangsaan Matunggong (SMK. Matunggong), Kudat adalah salah satu daripada 13 buah sekolah menengah di daerah Kudat. 


SMK. Matunggong telah didirikan di atas tapak tanah seluas 20 ekar, terletak kira-kira sejauh 500 meter daripada Pekan Matunggong, 39 kilometer dari Kota Marudu, 45 kilometer dari bandar Kudat dan 195 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu.  Lokasi kawasan tapak tanah adalah kawasan berbukit dan lurah yang mana ianya telah dipotong dan ditimbus. 


Sekolah ini mempunyai tujuh unit blok sekolah 3 tingkat, satu unit blok pentadbiran, satu kantin, asrama lelaki dan wanita, 24 unit rumah guru serta sebuah padang permainan. 


Kerja-kerja pembinaan bangunan sekolah ini telah siap seawal bulan Mei 2004.  Namun begitu, sekolah ini hanya dibuka dengan rasminya pada 3hb. Januari 2005.  Pendaftaran pelajar untuk sesi persekolahan 2005 telah bermula pada 28hb dan 29hb. Disember 2004.  Para pelajar yang berdaftar sebagai generasi pertama sekolah ini ialah para pelajar Tingkatan Satu.  Hampir 85% pelajar sekolah ini berasal dari daerah kecil Matunggong dan selebihnya dari daerah-daerah lain yang berhampiran.  Seminggu selepas keputusan PMR diumumkan, para pelajar Tingkatan Empat mendaftar bagi kumpulan kedua pelajar sekolah ini. 


Seawal penubuhan sekolah ini berjalan, jumlah pelajar ialah 356 orang yag terdiri daripada 276 orang Tingkatan Satu dan 80 orang pelajar Tingkatan Empat.  Tenaga penggerak utama ketika sekolah ini mula-mula beroperasi adalah terdiri daripada tiga orang, iaitu seorang pelyelaras dan dua orang pembantu.  Kemudian guru bertambah sembilan orang dan dua kakaitangan sokongan. 


Kemudahan-kemudahan yang ada di sekolah ini belum digunakan sepenuhnya sehingga ke penghujung tahun 2005.  Sebanyak 10 buah bilik darjah untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran telah digunakan.  Tujuh buah bilik darjah untuk Tingkatan Satu, dua buah bilik darjah untuk aliran sastera ikhtisas dan satu buah bilik darjah untuk aliran sains tulen.  Jumlah tenaga pengajar bertambah menjadi 20 orang ( 11 lelaki dan 9 wanita ), lima orang staf sokongan ( semua lelaki ) dan jumlah pelajar mencecah angka 360 orang ( 280 pelajar Tingkatan Satu dan 80 pelajar Tingkatan Empat ). 


Walaupun baru beroperasi satu tahun, SMK. Matunggong telah mengukir nama di persada pendidikan, khususnya di peringkat Gabungan Kota Marudu dan di negeri Sabah amnya kerana berjaya menganjurkan beberapa acara ko-kurikulum di peringkat negeri pada tahun pertama pembukaannya dan terus bergerak ke hadapan memburu kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

No comments:

Post a Comment